Saturday, December 15, 2012

1 sen 2006 dengan Die Break..


Selamat berhujung minggu semua! Ada koleksi yang menarik anda kumpul pada minggu ini?

Untuk kiriman kali ni, saya nak berkongsi tentang syiling 1 sen yang baru saya terjumpa dalam segenggam syiling 1 sen yang ada di rumah jiran saya. Rupanya ada sebiji yang mempunyai error jenis Die Break. Agak menarik bagi saya kerana blob yang terhasil berada di tengah tengah dan tidak ada die crack yang mengikutinya. Biasanya die break akan terhasil apabila die crack berlaku secara berlebihan.

Oh ya saya tersalah tulis pada gambar itu, bukan pada obverse, tetapi pada reverse sebenarnya.
Untuk syiling siri Bunga Raya, sebenarnya sisi hadapan (obverse) adalah sisi yang ada gambar rebana, manakala sisi belakang (reverse) adalah sisi yang ada gambar bunga raya seperti dalam gambar di atas.

Nantilah balik daripada lawatan ke kilang mencetak mata wang peringatan di Kuala Kangsar, akan saya perbaiki kiriman ini.

Selamat mengumpul! ;-)



Thursday, December 13, 2012

Duit lama negeri terengganu.. pitis malik al adil



Asyik dengan syiling moden sahaja, kali ni saya nak berkongsi koleksi terbaru saya. Syiling seperti dalam gambar di atas adalah syiling Negeri Terengganu.

Pada bahagian depan, tertulis dalam tulisan Jawi perkataan "Malik Al Adil" yang bermaksud "Pemerintah yang Adil", manakala di bahagian belakang kosong sahaja.

Syiling di atas, atau lazimnya dipanggil Pitis oleh masyarakat setempat adalah jenis yang biasa dijumpai. Akan tetapi untuk keadaan seperti yang di atas, bagi saya ini adalah keadaan yang terbaik. Mungkin sama taraf dengan UNC untuk syiling moden.

Lazimnya Kesultanan Melayu pada zaman dahulu menggunakan tiga jenis logam untuk menempa matawang - emas, perak dan timah. Untuk pitis di atas, ianya diperbuat daripada logam timah. Logam timah asalnya berwarna keperakan, akan tetapi apabila terdedah kepada persekitaran, ianya menjadi hitam.

Agaknya apa yang boleh dibeli dengan sekeping pitis di atas pada masa dahulu ya? Mungkin sepinggan nasi bersama lauk mungkin?

Tuesday, December 11, 2012

5 sen 2008 DDR LAGI..



Terjumpa lagi dalam kocek sekeping syiling Doubled Die kegemaran saya. Bagi saya syiling ini adalah syiling yang paling cute dalam banyak - banyak syiling DD Malaysia yang boleh dijumpai.

Anjakan keseluruhan devices ke arah jam 10 yang ada pada belah belakang syiling ini bagi saya amat menarik. Untuk syiling varieti DD, petua untuk mencari DD dalam longgokan syiling anda adalah dengan mengingati tahun syiling yang mempunyai DD. Sebagai contoh, hanya tahun 2008 mempunyai gandaan seperti dalam gambar di atas. Cantik bukan?

Sudahkah anda mempunyai 5sen2008DDR ini? Saya mempunyai lebihan syiling di atas, jika anda berminat boleh menulis ke email saya mnfdzly@gmail.com. Terima kasih kerana berkunjung. =)

Sunday, December 9, 2012

Syiling Pulau Pinang


Syiling Pulau Pinang adalah antara koleksi yang saya minati. Secara numismatik juga, syiling Pulau Pinang banyak menimbulkan persoalan dan kajian. Antaranya syiling Pulau Pinang adalah merupakan antara sebilangan kecil syiling yang tidak mempunyai cetakan denominasi dan nilai pada syilingnya. Maka, jenisnilai separuh sen, satu sen dan dua sen ditentukan melalui saiznya. Denominasinya juga berbeza mengikut tempat tempaan - sebagai contoh untuk tahun 1810 yang ditempa di Royal Mint, London didenominasikan sebagai pecahan Sen manakala yang ditempa di Kilang di India dinamakan Pice.

Syiling Pulau Pinang walaupun agak sedikit jenisnya, tapi antara jenis koleksi yang mencabar untuk dikumpul. Daripada pelbagai varieti yang ada dari bilangan bunga lili, kepada menaiktaraf syiling ke gred yang lebih tinggi.

Adakah anda seorang pengumpul syiling Pulau Pinang?

Tuesday, December 4, 2012

50 sen 1993 palsu dengan ciri Doubled Die pada Reverse dan Obverse (DDO & DDR)


Syiling 50 sen palsu sememangnya banyak dalam edaran. Baru-baru ini rakan saya telah menemukan sebiji 50 sen palsu bertahun 1993. Dalam kebanyakkan syiling 50 sen palsu, kebanyakkan besar adalah bertahun 2004 dan 2005. Penemuan syiling palsu bertahun 1993 ini menunjukkan kegiatan syiling palsu telah ada seawal tahun 1993 lagi! Ketika ini saya baru sahaja berumur 4 tahun. Hehe.


Nampaknya bahagian reverse syiling ini adalah daripada batch (atau mungkin kilang) yang lain daripada yang dipertontonkan oleh Mr Dickson. Klik sini untuk melihat 50sen1993 palsu beliau.


Bahagian obversenya pula agak kemas buatannya dengan ciri ciri Doubled Die jenis Offset yang amat ketara!



Lettering pada bahagian sisi agak kemas, cuma sedikit tidak tepat, dan tulisannya tidak seragam.


Ciri DD boleh dilihat dengan ketara pada device angka 50. Ianya teranjak ke arah jam 9. Sayang gambar yang saya ambil ketika cahaya kelam ini tak begitu menunjukkan imej keduanya.


Ini pula DD pada bahagian obverse. Imej device teranjak secara offset ke arah jam 12. Bukan sahaja notching dapat dilihat, malah valley daripada dua imej yang terhasil.


Akhir sekali pada bahagian bucu wau. Yang ini tak perlu saya terangkan lah, nanti jadi redundant pula. Saya harap pembaca dapat mengenalpasti ciri ciri Doubled Die pada spesimen syiling palsu saya ini. Alangkah seronoknya jika ciri DD ini ditemui pada syiling 50 sen yang asli. :)

Satu lagi info tambahan, syiling palsu ini dibuat daripada planchet besi. Maka ianya tertarik kepada magnet.

Antara 50 sen palsu yang menarik untuk dikumpul bagi saya adalah 50 sen 1998 palsu dan 50 sen 2005 palsu yang mempunyai ciri DD. Malahan terdapat juga 50 sen palsu dengan full brockage error! Adakah anda pengumpul syiling palsu?